Wednesday 24 December 2014

Tuesday 23 December 2014

Sesudah Kesulitan Ada Kemudahan

Teks: Siti Rahimah Ismail
Kadang-kadang apabila Allah uji dengan kesusahan, diri sentiasa ingin merungut dan sedih untuk melalui ujian tersebut.Namun ingatlah sahabatku setiap kali kita melalui ujian, kesusahan,kesedihan dan berbagai-bagai masalah dalam kehidupan kita,ingatkan diri kita surah Al-Insyirah ayat 5-6.

Thursday 18 December 2014

Terima Kasih Sahabat

Teks: Siti Rahimah Ismail
Foto: sumber google

Terima kasih sahabat. Hanya itu yang mampu aku ucapkan kerana cinta dan kasihnya hubungan kita kerana Allah. Walaupun kadang-kala aku menyepi bukan maksud aku telah melupakanmu. Aku sentiasa berdoa semua sahabatku berbahagia dan dirahmati hidupnya.

Ciri-ciri sahabat yang digariskan dalam islam.

Sahabat yang baik adalah sahabat yang berlumba-lumba membuat kebaikan.

Dalam persahabatan tidak salah jika ada sikap cemburu. Namun biarlah cemburu untuk kebaikan. Ada satu kisah dimana seorang sahabat sering cemburu melihat sahabatnya yang membaca al-quran setiap hari. Setiap hari beliau akan bertanya kepada sahabatnya jumlah juz bacaan al-qurannya. Jawapan yang diterima selalu sahaja lebih daripada bacaan beliau sendiri. Sehinggakan pada suatu hari sahabatnya itu menegur beliau yang banyak membaca buku daripada Al-Quran. Mendengar kata-kata sahabatnya itu menyebabkan beliau menanam azam untuk membaca dengan lebih banyak dan memahami Al-Quran terjemahannya. Dengan keazaman dan keyakinan serta dorongan sahabatnya beliau telah mengkhatam Al-quran 30 juzuk. Semuanya dengan izin Allah sesuatu perkara baik itu akan diberkati oleh Allah. Oleh itu ingatlah bahawa sahabat yang menunjukkn kebaikan kepada kamu, adalah sahabat yg baik. Dan sahabat yang menunjukkn kesalahan kamu, adalah sahabat yg paling baik

Dalam satu hadits Rasulullah SAW berkenaan dengan niat. Beliau bersabda yang bermaksud " terimanya amalan anak adam itu bergantung apa yang diniatkannya." (Hadis Riwayat Muslim).

Nikmat yang paling berharga selepas nikmat iman dan islam ialah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya maka peganglah ia bersungguh-sungguh.-Saidina Umar Al-Khattab-

Assalamualaikum Sahabatku.

Wednesday 17 December 2014

Faris kena alahan telur


Bagi ibu bapa yang mempunyai anak pertama harap info ini dapat membantu serba sedikit. Pengalaman faris kena alahan telur memang kesian dekat dia. Semua badan dia naik ruam kecil merah dan gatal. Selama 2 minggu juga dia menderita gatal dengan ruam.


Suatu hari 'nurse' telefon tanya anak dah perkenalkan telur ke belum. Aku pun jawab belum lagi. Nurse pesan bulan 12 nanti anak kena pergi klinik cucuk. Kalau ada alahan telur mungkin tak perlu lagi. Waktu tu umur Faris dah 11 bulan. Lambat juga baru aku tahu yang faris kena diperkenalkan telur untuk mengetahui mereka alahan atau tidak dengan makanan tersebut. Sewaktu nurse telefon aku,Faris megalami telinga berair,jadi aku pun tak berani nak perkenalkan telur lagi. Lepas 2 minggu agak telinga faris kering sikit aku pun rebus telur dan ambil 2 sudu telur putih makan dengan bubur nasi. Lepas makan tengok tak ada alahan apa pun. Petang sebelum mandikan faris buka baju dia tengok penuh naik ruam dekat belakang badan,dekat muka,tengkok. Hati cuak dan risau juga. Lepas mandikan Faris tengok badan dia lagi teruk ruam naik,bintik merah kecik putih-putih macam ada nasi dalam bintik tersebut. Malam tu memang gelisah dia tak boleh tidur. Hampir 2 minggu juga ruam faris nak sembuh. Kami tak bawa pergi klinik,cuma ambil krim dekat farmasi untuk sapu. Alhamdulillah,nampak ada berkurangan lepas guna sudcream.


Sumber dari website http://www.myhealth.gov.my/, alahan telur ialah reaksi tindak balas badan terhadap telur dan makanan yang mengandungi telur. Badan akan memberi tindak balas seolah-olah telur itu adalah bahan berbahaya.

Menurutnya lagi,alahan ini boleh terjadi apabila badan bertindak balas terhadap telur sebagai bahan bahaya. Badan akan menghasilkan antibodi untuk melawan protein telur dan antibodi ini merangsang sistem imun badan untuk mengeluarkan bahan kimia yang menyebabkan terjadinya gejala alahan telur. Kekerapan berlaku kejadian alahan telur ini tidak diketahui. Sebab itu,biasanya telur akan mula diperkenalkan pada bayi seawal 8 bulan untuk mengetahui peringkat alahan bayi. Kebiasaannya,apabila kanak-kanak berumur antara 5 hingga 7 tahun alahan telur akan hilang.

Kesan-kesan reaksi yang timbul akibat alahan boleh melibatkan kulit,usus dan paru-paru. Mungkin juga kadang-kala fungsi jantung dan tekanan darah juga turut terjejas.  Jenis-jenis reaksi yang biasa terjadi ada 2 jenis. Pertamanya yang kelihatan dalam beberapa minit. Biasanya alahan berlaku walaupun hanya dengan menyentuh telur dan bebrapa minit akan timbul gejala. Terdapat juga reaksi yang lewat biasanya kelihatan selepas 2 jam hingga 4 jam.
Gejala alahan yang biasanya di alami untuk jangka masa kurang daripada sehari seperti gatal-gatal, radang kulit(ekzema),Muka menjadi merah.Mata berair, bengkak kelopak mata, Mulut gatal, bengkak bibir, Tekak perit, Hidung berair, Nafas termengah-mengah, batuk, Loya dan muntah, Sakit perut, Cirit-birit. Ibu bapa boleh menjalankan ujian khusus sekiranya bayi mereka sakit atau mendapat ruam selepas makan telur. Ujian alahan kulit.RAST (Radio Allergosorbent Test).Ujian khas alahan telur ini boleh dilakukan tetapi tidak semestinya memberi keputusan yang tepat. Segala keputusan ujian perlu dianalisa dengan teliti oleh pakar sebelum diagnosa dibuat.

Tuesday 16 December 2014

Hargai Masa Anda

Teks: Siti Rahimah Ismail

Buat ingatan diri sendiri dan semua yang membaca,

Andai kita ada azam nak membaca Al-Quran banyak-banyak bulan Ramadhan nanti mulakan dari sekarang.
Andai kita nak banyak sedekah Ramadhan nanti sedekah mula dari sekarang
Andai kita nak banyak buat pahala waktu ramadhan nanti banyakkan membuat pahala dari sekarang

ALHAMDULILLLAH ada impian untuk menambah amalan Ramadhan nanti, tapi lebih baik tambah amalanya dari sekarang. Semoga Ramadhan nanti bertambah-tambah pahala amalan kita. Mulakan dari sekarang agar impian ini bukan sekadar angan-angan dan dengan harapan impian ini tidak akan pudar bila Ramadhan tiba nanti.














Sumber foto: google 
sumber foto:google

Monday 15 December 2014

Mak Ayah datang Kuala Lumpur

Alhamdulillah..akhirnya sampai juga mak ayah datang ke rumah aku hari sabtu lepas. Walaupun mak ayah datang semalam saja tetap rasa seronok. Ceritanya kakak sulong aku balik kampung 'follow up checkup' anak dia Danish. Secara tidak langsung adik ku Yati terpaksa turun Kuala Lumpur  hantar kakak sulong. Mak dan ayah pun akan ikut sekali turun. 

Lain yang dirancang,lain pula jadinya.


Perancangannya mak ayah turun hari sabtu terus datang rumah aku tidur semalam. Hari ahad akan ke rumah kakak sulung tidur sana semalam dan isnin pagi baru balik ke Kulim. Pagi ahad bangun pagi bersarapan bihun goreng mak pastu semua bersiap nak pergi melawat Mak Lang syuhada di Uitm Puncak Perdana dulu sebelum balik ke Cheras. Kami keluar rumah dalam pukul 12.00 tengahari dan sampai dalam pukul 1petang. Singgah makan di medan selera Uitm. Kebetulannya, ayah rupa-rupanya tertinggal telefon dia dekat rumah aku. Kakak aku pun suami dia datang berkumpul bersama di Uitm. Mak ayah buat keputusan nak balik petang ahad juga. Adik yati ikut kami sampai Bukit Beruntung singgah ambil telefon ayah dan terus bergerak balik kampung pukul 4 petang dari rumah kami.


Apa-pun terima kasih dekat adik Yati sebab  bawa mak ayah ke rumah kami. Kita hanya merancang Allah yang sebaik-baik perancang.  

Friday 12 December 2014

Derma RM1

Teks: Siti Rahimah Ismail
Foto: Sumber google

Alhamdulililah segala puji hanya bagi Allah,Tuhan sekelian alam.

Syukur masih diberikan kesihatan yang baik oleh Allah jika hendak dibandingkan dengan orang lain yang Allah uji mereka dengan masalah kesihatan dan macam-macam lagi.

Sebelum ini saya ada menulis bahawa menderma boleh kaya. Memang benar 1 kali kita menderma 7 kali Allah gandakan rezeki pada kita.Kita boleh mulakan dengan menderma RM1. Jangan kita pandang pada nilai RM1 tersebut,tapi pandanglah pada keikhlasan kita dalam memberi dan usaha yang kita buat. Zaman sekarang tidak susah pun untuk buat pahala akhirat. Banyak kawan-kawan ‘post’ di facebook orang-orang yang memerlukan bantuan. Jadi kita boleh kongsi dengan kawan-kawan yang lain sambil menderma.

Jadi jangan buang masa. Jangan bertangguh-tangguh lagi. Mari mulakan sekarang kongsikan kepada seberapa ramai yang boleh dan saya tak minta lebih hanya RM1 seorang. Insya Allah RM1 itu tidak penting , yang penting mesti derma.

Jangan Dedahkan Gajet Telefon Pintar Pada Anak Bawah Dua Tahun

Teks : Siti Rahimah Ismail.

Sejak akhir-kahir ini sering kali kita terdengar atau membaca keburukan gajet seperti telefon pintar kepada anak-anak terutama kanak-kanak yang masih kecil. 

Menurut kajian oleh Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi Pusat Perubatan Tropicana, Dr Anushree Narayan menyarankan penggunaan gajet ini kepada kanak-kanak yang terlalu awal usianya di bawah 2 tahun boleh mendatangkan keburukan daripada kebaikan. Ini kerana mereka belum dapat memahami sesuatu perkara yang realiti atau sebaliknya. Malahan,kerana mereka masih terlalu kecil dan tidak dapat membezakan sesuatu yang baik dan buruk.
Berbeza dengan kanak-kanak yang berusia 2 tahun ke atas,mereka sudah mampu untuk belajar,menerima dan memahami setiap perkara yang berlaku di sekeliling mereka termasuk dalam penggunaan gajet telefon pintar ini.

Thursday 11 December 2014

Tudung Aidijuma

Teks: Siti Rahimah Ismail
Foto: Facebook AJ
Sejak terjebak dengan tudung aidijuma ni memang suka tengok tudung-tudung yang terbaru dari AJ. Rasa tak puas tengok dalam facebook, jadi 'copy' dan 'paste' masuk blog sendiri. Dalam gambar ni semua tudung White Label yang akan 'release' hari sabtu ni. Kelima-lima design ni aku suka.Rasa nak beli semua saja. 
Macam mana aku boleh terjebak,mari nak cerita sikit. Pada mulanya memang aku selalu 'google' mencari tudung bawal. Rasa lama tak pakai tudung bawal jadi kalau boleh nak beli secara 'online' saja.Terjumpa pula dengan satu blog ni cerita tentang bawal AJ.Katanya tudung AJ ni kain selesa pakai,senang nak dibentuk dan yang paling aku tertarik sangat sebab tudung ni memang tak perlu di gosok sangat. Memang betul pun,lepas pengalaman sendiri pakai,saya jarang gosok tudung AJ ni. Sesuai sangat dengan saya yang memang tak rajin nak menggosok ni. Buat masa sekarang beli untuk pakai sendiri saja, tak sampai lagi buat koleksi. 

Bagi yang baru nak mula terjebak tu boleh la tengok-tengok page facebook AJ. Kategori White Label ni kira yang paling murah RM1O sahaja.

Cuti Sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor

Teks : Siti Rahimah Ismail

Selamat bercuti dan berehat buat warga Selangor bersempena Hari Keputeraan Sultan Selangor hari ini, Khamis 11 Disember 2014. Bagi warga Kuala Lumpur dan sewaktunya bekerja macam biasa:(.Seronoknya suami aku bercuti hari ini. Isterinya pula yang kena kerja. Maklumlah namanya tinggal di Selangor kerjanya di Kuala Lumpur. Tak dapat cuti sama-sama hari ini:(.Kita tunggu hari sabtu baru boleh cuti sama-samakan ayah faris.

Kisahnya hari ini taska pun tutup disebabkan cuti umum,maknanya faris kena duduk rumah dan ayahnya terpaksa jadi 'babysister' untuk satu hari. Memandangkan ini pertama kali faris kena tinggal dengan ayah, risau juga ibu faris. Harap ayah faris boleh jaga dan layan dengan ragam faris yang nakal itu.
Dulu masa anak kecil lagi memang tak nak ayah faris jaga sorang-sorang.Tak pandai katanya nak tukar lampin,nak mandi kan lagi anak. Lagi-lagi nak pujuk anak kalau menangis. Memang tak pandai dulu.Sekarang ayah faris pun dah boleh ‘handle’ faris dengan baik. Kadang-kadang lampin dia yang tukar. Faris pun banyak manja dengan ayah berbanding dengan ibu.Sekarang faris pun dan nak cukup setahun umur dia. Tungu hari saja lagi seminggu nak cukup 1 tahun. Dalam usia faris sekarang memang waktu untuk dia mula 'mengemas barang-barang dirumah’. Mana-mana barang yang boleh dicapai semua ditarik dan buang ke lantai. Lepas tu gelak-gelak tengok barang jatuh.Tugas ibu dan ayah pula mengemas kali kedua:).Bijak-bijak anak ibu. Tengahari ini ada telefon ayah faris sempat cakap sekejap sangat.Sibuk nak bagi anak tidur. Baru tahu kan ayah faris sibuknya kalau jaga anak. Memang tiada masa nak main-main telefon (whattsapp pun tak berbalas):).

Ibu faris pun tak nak kacau ayah faris yang dekat rumah.Semuanya baik tiada apa-apa yang perlu dirisaukan sangat.Kita jumpa malam nanti ya ayah faris. Kita tunggu saja cerita malam ini dengar apa aktiviti ayah dan anak sepanjang hari ini:).

Saturday 6 December 2014

Tetap bersyukur dan selalu berdoa

Alhamdulillah,syukur kepad Allah masih lagi dapat bangun pagi ini dan mengerjakan solat subuh. Hari ini saya ingin berkongsi tentang amalan berdoa. Berdoa adalah sesuatu amalan atau ibadah yang amat disukai oleh Allah.

Surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKu apabila dia berdo`a. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk.

Dalam satu hadis berkenaan doa yang bermaksud:

"Tidak ada seorang muslim pun yang berdo`a dengan sesuatu do`a yang tidak ada di dalamnya dosa atau memutuskan kekeluargaan, melainkan Allah akan beri salah satu dari 3 perkara; sama ada disegerakan untuknya (dimakbulkan di dunia), ataupun disimpan untuknya pada hari akhirat (diberi balasan baik pada akhirat), ataupun diselamat dia dari keburukan yang seumpamanya." Kata al-Imam al-Syaukani dalam Tuhfah az-Zakirin : Hadith ini riwayatkan oleh al-Imam Ahmad, al-Bazzar, Abu Ya'la, kata al-Munziri: Sanadnya sahih (m.s. 65, cetakan. Lubnan).


Maksudnya setiap orang yang berdoa kepada Allah akan dimakbulkan doanya. Namun ingatlah bahawa setiap doa itu akan dimakbulkan dengan tiga cara yang berbeza. iaitu:

1) Allah makbulkan doa sesorang di dunia dengan cepat atau segera dimakbulkan olehNya didunia.
2) Keadaan kedua Allah tidak makbulkan doanya di dunia tetapi disimpan oleh Allah untuk balasan yang lebih baik ganjarannya diakhirat.
3) Ketiganya, doa diganti dengan keselamatan diri dari keburukan yang akan mengenainya. Dengan sentiasa berdoa kepada Allah barangkali Allah menjaga dan menghindarkan diri kita dari segala keburukan didunia ini.

Di pagi jumaat ini mari kita sama-sama berdoa agar dipermudahkan segala urusan hidup di dunia dan akhirat. Jangan lupa mengingati Alllah yang tidak pernah lupa akan hambaNya. Pastinya pahala ada disisi Allah bagi yang berdoa kerana makbul atau tidak sesuatu doa itu hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Amin.



Thursday 4 December 2014

Krim Untuk Ruam dan Alahan Faris

Teks: Siti Rahimah Ismail
Foto: sumber google

Peningnya kepala hari ni. Rasa tak bermayanya.Semalam tak cukup tidur.:( . Faris asyik terjaga saja merengek. Mungkin kerana ruam rasa tak selesa atau gatal dekat badan.

Bepanthen-Ointment
Malam selasa pergi farmasi beli krim untuk ruam dekat badan faris. Banyak betul ubat ruam untuk bayi ni sampai tak tahu yang mana sesuai. Akhirnya pilih yang ini 'Bepanthen'. Jenis krim ni dalam kategori selamat untuk bayi.Kalau bagi tersentuh sedikit tiada masalah.


Pagi rabu bangun tengok ruam masih tak berkurangan dan tiada perubahan. Mungkin baru sekali sapu. Baw pergi taska minta pengasuh sapukan juga selepas mandi. Balik malam semalam tengok makin teruk saja bintik merah dekat tengkok dengan celah paha. 

Malam semalam cuba sapu krim sudocream pula.Sapu satu badan faris. Alhamdulillah,bangun pagi tadi tengok ruam yang dekat tengkok macam dah nipis sikit. Dekat belakang badan pun kurang dah bintik-bintik merah. Cuma dekat konek dia sahaja tak berapa nak baik.Masih rasa gatal dan berbintik merah.

Harap balik petang ni berkuranglah ruam faris. Kesian asyik garu-garu badan sebab gatal.

Wednesday 3 December 2014

Mudah Berurusan dengan Tabung Haji melalui Maybank2u.

Teks oleh: Siti Rahimah Ismail

Pengalaman saya sendiri sejak ada Perbankan Internet 'online banking' jarang saya pergi ke kaunter bank untuk berurusan. Hari ini selesai juga urusan nak semak baki tabung haji. Sejak tahun lepas, simpanan ke tabung haji memang saya 'transfer' melalui Maybank2u sahaja setiap bulan. Jadi hampir setahun buku tak ber'update'. Dulu biasanya akan minta mak pergi kemaskini buku. Sejak keluar memo hanya pemilik akaun yang boleh kemaskini buku, rasa susah pula nak buat urusan. Kena minta cuti dulu baru boleh keluar pergi bank Kebetulan semalam ada terbaca satu blog yang berkongsi cara semak baki tabung haji melalui Maybank2u. Hari ini terlaksana juga dapat menyemak baki buku hanya melalui Maybank2u. Alhamdulillah selesai.

Dalam pos kali ini saya ingin kongsikan cara mudah untuk berurusan dengan Tabung Haji tanpa perlu pergi ke kaunter. Mungkin ada sesetengah orang sudah tahu mengenai hal ini. Bagi yang belum tahu boleh rujuk disini.

Pertamanya akaun Maybank anda hendaklah di daftar dengan Maybank2u. Kemudian,anda perlu pergi ke ATM mesin dulu untuk link antara akaun Tabung Haji dengan Maybank.

Langkah -langkahnya adalah:
1) Macam biasa masukkan kad ATM dan password.
2) Skrin akan ke menu utama,pilih sub-menu Tabung Haji
3) Kemudian,pilih Daftar Akaun Tabung Haji ke ATM
4) Lepas tu keluar skrin minta kita masukkan No Akuan tabung haji
5) Seterusnya masukkan No Siri Buku Tabung Haji dan selesai.

Setelah selesai urusan di ATM mesin, masuk laman web Maybank2u.com.my dan login seperti biasa. 
Pilih tab menu 'account & banking'. Kemudian pilih item'Transfers' dan cari item 'Tabung Haji'.
Akan keluar tiga item iaitu:

'Balance Inquiry'-boleh semak baki akaun tabung haji
'Fund transfer'- untuk transfer wang ke akaun sendiri,akaun 3rd party pun boleh dan ke akaun Maybank pun boleh.
Hajj Registration-untuk daftar haji bagi yang sudah layak. Syaratnya dalam akaun kena ada RM1300. 

Akhir sekali pilih urusan apa yang hendak di buat. Selesai kan. Mudah dan cepat. 
Kalau sesiap yang tiada internert pun masih boleh buat urusan di atas dengan tabung haji melalui ATM mesin Maybank. 

Kebaikannya sistem ini memang menjimatkan masa bagi sesiapa yang ingin berurusan dengan Tabung Haji. Tak perlu beratur panjang tunggu giliran. Cuma kelemahan yang saya nampak,lepas ni kena lagi berhati-hati. Bila lagi mudah caranya,lagi mudah duit nak keluar. Lepas ni nak buat daftar haji pula. Harap-harap ada rezeki untuk kesana. Amin.

Monday 1 December 2014

Faris kena alahan atau ruam

Pagi ini bangun awal macam biasa bersiap pergi kerja. Sejak ada anak kecik Faris, menjadi rutin dia mengejut ibu ayah dia waktu pagi. Kalau jam lima pagi tu,dengar suara dia bunyi gagagaga.maksudnya 'Selamat pagi ibu ayah'.:) Selepas suami hantar faris ke taska, kemudian aku pula naik bas ke tempat kerja.

Sebenarnya hari ini tak ada hati sangat nak kerja. Asyik teringat kan dekat faris. Macam manalah dia dekat taska. Kisahnya semalam aku cuba-cuba bagi dia makan telur. Pertama kali nak bagi makan telur jadinya aku rebus bagi betul-betul masak kemudian ambik satu sudu kecil telur putih hancurkan dan masukkan dalam bubur campur sup ayam. Masa dia makan tengahari semalam elok sahaja. Bila petang waktu nak mandikan dia tengok badan naik ruam kecik-kecik merah. Hati dah risau takut alahan telur.
Nak sedapkan hati fikir mungkin ruam peluh sebab dia memang kuat berpeluh pun.

Lepas siap mandi semua bagi minum susu. Masa tu dah tngok dia mengaru-garu tengkok dia. Ruam pun nampak semakin merah. Sambil merengek-rengek tu terlena juga faris atas bahu. Lenguh jangan cakap lah. Semua ibu pun merasa ya. Terus sahaja telefon ' nurse' yang selalu jumpa dekat klinik kesihatan tu. Bila terangkan pada dia sitiuasi faris. Dia cakap bukan alahan telur. Katanya kalau alahan telur akan naik bengkak-bengkak merah bertompok macam kena ulat beluncas. Dengar macam tu rasa lega sikit. Tapi masih risau dengan ruam merah dekat badan faris. Kesian dia tidur tak lena.

Harap petang nanti waktu ambil faris dia sihat dan ruam berkurangan.
Sambung lagi nanti.

Thursday 27 November 2014

Selsema dan batuk

Teks: Siti Rahimah Ismail

Alhamdulillah selsema dan batuk melanda diri hari ini. Kisahnya balik keje hari isnin lepas tak bawa payung,jadinya meredah hujan yang renyai-renyai untuk sampai ke lrt KLCC.

Sudahnya hari selasa dah mula rasa sakit-sakit tekak. Kepala pun dah pening-pening. Syukur badan tak demam. Apabila tekak gatal batuk pun memang tak dapat tahan. Makan strepsil pun tak menjadi. Kerja terpaksa pergi jugak. Namapun kerja makan gaji,bukan boleh cuti sesuka hati.

Hari ini semakin gatal pula tekak. Maka tercari-cari lah aku rawatan untuk selsema dan batuk ini bersumberkan internet. Antara rawatan secara semulajadi yang boleh kita amalkan:

Minum madu
Bagi yang mengalami bengkak tekak akibat batuk yang lama boleh amalkan madu. Caranya boleh diminum terus atau campurkan 2 sudu madu kedalam air suam atau teh herba dan minum. Madu ini dikatakan dapat melegakan sakit tekak dan membunuh kuman.
Note:memang selalu minum madu,terus amalkan.

Perahan air limau dan kicap
Caranya perahkan air limau 2,3 sudu ke dalam gelas,masukkan 3,4 sudu kicap dan kacau bagi sebati lepas tu minum. Buat dalam 3 kali semiggu.
Note: Emm,boleh cuba yang ini.

Air Garam
Caranya ialah dengan berkumur air garam tersebut setiap hari dapat mengurankan sakit tekak. Garam berfungsi sebagai antiseptik dan membersihkan kahak..
Note: Emmm..tak sanggup aku buat yang ini.

Selain itu,ada juga tip-tip untuk meredakan selsema dan batuk agar tidak berlarutan:

Minum Air Putih secukupnya, kalau boleh biar air suam.

Tidur dan rehat yang cukup

Elakkan dari berada di kawasan yang sesak atau ramai orang.

Elakkan dari menghidu asap rokok,asap kenderaan yang boleh menyebabkan jangkitan pada tekak.

Cukup dulu aku berhenti di sini. Tekak pun semakin sakit ni. Nak pergi cari madu kejap. Kalau ada sesiapa yang batuk juga saya doakan semoga cepat sembuh.


'Sesungguhnya Allah menurunkan sakit kepada hambanya sebagai rahmat dan penghapus dosa '

Tip 2 Mendidik Anak Mencintai Al-Quran

Izinkan Anak Melihat Diriku Sebagai Pencinta al-Quran.

Tiru Macam Saya!!!
Tip yang kedua cara menyemai rasa cinta anak dengan al-quran adalah tunjukkan contoh teladan yang baik. Anak-anak akan mudah terpengaruh ,mudah meniru dan cepat belajar dengan  apa yang mereka lihat dan apa yang mereka dengar.

Jadikan rutin harian kita bersama Al-quran sebagai satu langkah untuk menggalakkan anak-anak menjadi mesra dengan Al-Quran. Contohnya meluangkan masa membaca al-Quran bersama-sama mereka,membaca al-quran di kalangan anak-anak,mudah-mudahan mereka juga akan meniru  tindakan kita.

Sebagai ibu bapa kita ayuh tonjolkan diri sebagai pencinta al-quran. Tunjukkan dan pengaruhi mereka dari kecil . Menghafaz al-quran.

Sesungguhnya amalan ibu mengandung membaca al-quran semasa kehamilannya merupakan salah satu ikhtiar agar anak yang lahir nanti akan cenderung untuk minat dan menjadi pencinta al-quran.Ini kerana ibu telah menghubungkan anak dalam kandungannya dengan bacaan al-quran,zikir-zikir memuji Allah SWT pada peringkat kehamilan lagi.

Maka.marilah kita cuba beistiqamah dalam membaca al-quran agar menjadi bekalan pahala apabila anak kita juga bangga dan gembira untuk memahami al-quran..Amin.

Tuesday 25 November 2014

Tip 1 Mendidik Anak Mencintai al-Quran

Teks: Siti Rahimah Ismail


Perkenalkan nama-nama al-quran dan keistimewaan al-quran kepada mereka.

Dalam melahirkan anak yang mencintai Al-quran,perkara pertama adalah perkenalkan mereka dengan nama-nama Al-quran dan keistimewaannya. Antara nama-namanya ialah Al-quran, Al-furqan,al-zikr,al-kitab dan al-tanzil. 

Tujuannya supaya mereka akan rasa bertuah kerana dapat belajar, perasaan dan  memahami serta mencintai al-quran. Mereka akan lebih memahami tujuan mencintai al-quran yang sebenarnya. Mereka akan faham mengapa mereka perlu belajar,memahami dan mencintai la-quran.

Bagaimana untuk mencintai Al-Quran andai kita tidak pernah belajar untuk mencintainya? Bak kata pepatah’Tak kenal maka tak cinta’. Begitu juga dengan anak-anak perlu dikenalkan dahulu dengan keistimewaan al-quran. Barulah wujud perasaan untuk mencintai Al-quran.

Antara keistimewaan Al-Quran:
Pembaca al-quran akan di sayangi Allah SWT.
Pembaca mendapat pahala 
Menyelamatkan manusia daripada seksa neraka.


Wednesday 19 November 2014

Bahagia Andai Dapat Berzikir Sambil Bekerja


sumber :google 

Jom kita cuba amalkan...

Hidup Dalam Kesyukuran


Assalamualaikum dan selamat pagi.

Pagi yang indah ini jangan lupa bersyukur diberikan kesihatan yang baik. Semoga apapun yang dilakukan hari ini dipermudahkan. Lebih baik bersyukur, hati pun akan tenang daripada hidup mengeluh.

Tuesday 18 November 2014

Bawa Faris ke Klinik Pakar kanak-kanak Tan


Hari jumaat lepas terpaksa ambil cuti kecemasan. Sudah dua hari Faris demam panas lagi-lagi waktu malam. Walaupun sudah makan ubat ambil dari klinik Panel,tapi masih tak reda panas badan dia. Biasanya kalau dia sihat badan mesti berpeluh. Risau jugak bila demam dia sampai 38 darjah celcius. Jadi, petang jumaat buat keputusan pergi klinik Pakar kanak-kanak Tan,Rawang.

Klinik ini terletak di belakang Petronas satu baris dengan Jabatan Pendaftaran Negara(JPN).Klinik ini memang ‘specialist’ untuk kanak-kanak sahaja. Selalu baca komen dari blogger tentang klinik ini memang bagus perkhidmatan dan ubat dia kira serasi dengan kanak-kanak.

Sampai di klinik dalam pukul 6.30 petang. Alhamdulillah tak ramai sangat orang. Selepas daftar nama dan timbang berat bayi,terus tunggu nombor giliran. Berat faris dah 7.2 kilo.:).Patut lenguh juga bahu ibu mengendong faris.

Masa jumpa doktor cakap panas dah sampai 39 celcius. Terus doktor masuk ubat ikut punggung untuk turunkan suhu badan. Faris dapat ubat demam, antibiotic dan selsema. Ubat antibiotic dan selsema untuk telinga berair sebab ada jangkitan dari selsema.   

Kalau sesiapa nak pergi boleh rujuk alamat di bawah:


Klinik Pakar Kanak Kanak Tan

Consultation Hours:

Mon - Fri: 9 am - 1.30 pm & 6.00 pm - 9.00 pm

Sat, Sun & Public Holiday - 9.00 am - 2.00 pm

TAN BABY AND CHILD CLINIC
No 5, Jalan Bandar Rawang 7, Pusat Bandar Rawang, 48000 Rawang
No Phone: 03-60937668
Waktu operasi dia memang lain sikit.Kalau pagi buka sampai tenagahri sahaja. Petang pula pukul 6 baru buka semula. Jadi kalau nak selamat,baik telefon dahulu sebelum pergi.

Wednesday 12 November 2014

Keberkatan Doa Ibubapa

Tertariknya ku untuk menulis di sini tatkala membaca status sebuah cerita yang di kongsi pada status mukabuku ku. Terima kasih adikku kerana mengingatkan kakakmu yang jauh dari ayah dan ibu. Sememangnya berjaya menitis air mata ku.

Kisahnya mengenai  seorang ayah yang tidak mahu mengganggu dan membebankan anak-anaknya untuk menghantarnya ke hospital. Walaupun sakit beliau sanggup menyewa teksi untuk berulang alik ke hospital. Dengan alasan jika anak-anak menolak permintaannya atau menolong dalam keadaan yang tidak ikhlas akan mengundang dosa kepada anaknya.  Ya Allah, memang sungguh mulia hati seorang ayah.Tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada anaknya. Hanya berharap anak-anak bahagia dengan kehidupan mereka.

Kisah ini amat menyentuh hati ku yang memang tinggal berjauhan dengan mak ayah. Sudah semestinya bukan semua permintaan mak ayah dapat ku tunaikan. Tambahan lagi, balik kampung hanya beberapa kali dalam setahun. Namun, aku akan cuba sedaya upaya untuk menghubungi mereka setiap minggu bertanya khabar. Walaupun memang ku rasa tidak cukup untuk membalas segala jasa mereka kepada ku. Aku sentiasa berdoa semoga satu hari nanti aku dapat tinggal berdekatan dengan mak ayah agar dapat berbakti dan menjaga mereka.

Aku juga bersyukur mungkin Allah swt telah menetapkan segala yang berlaku. Alhamdulillah, aku mempunyai seorang adik yang tinggal berhampiran mak ayah aku. Dia yang banyak membantu mak ayah untuk berulang alik ke hospital atau ke mana sahaja. Sesungguhnya ada juga rasa cemburu dengan dia:).Dapat berbakti kepada mak ayah. Marilah sama-sama kita muhasabah diri sebagai seorang anak. Sebagai seorang anak cuba tanya dalam diri masing-masing pernahkah kita menolak permintaan mereka?pernahkah kita mengeluh atau mengatakan ‘ahh’ atas permintaan mereka? Pernahkah kita bermasam muka dengan mereka kerana permintaannya?

Sekiranya ada yang menjawab ‘ya’ marilah kita sama-sama memperbaiki diri masing-masing. Mungkin kerana factor-faktor tertentu seperti tinggal berjauhan menjadi alasan tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Namun, cuba sebaik mungkin mencari masa menjenguk mereka wakaupun sekejap atau menghubungi mereka sekerap yang mungkin.  Sememangnya naluri mak ayah sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Tidak pernah mengharapkan balasan. Malah tidak pernah merungut atau mengeluh dengan kerenah anak-anak. Jika mereka rindukan kita kadang-kadang pun tidak diluahkan. Namun, jauh disudut hati mereka masih inginkan anak-anak sekadar mengingati mereka, teman untuk bergantung hidup,sebagai peneman ketika mereka tua. 

Sehebat mana pun kita di dunia ini, jika tanpa berkat doa mak ayah,hidup tidak akan bahagia dan dirahmati oleh Allah SWT. Sama-sama kita berdoa selepas solat memohon kepada Allah agar sentiasa memelihara mak ayah kita di dunia dan akhirat. Sesungguhnya apa yang ku tulis untuk peringatan kepada diri ku sendiri dan kepada sesiapa sahaja yang singgah di blog ini.

Ku selitkan doa untuk kita amalkan bersama-sama.

Doa Untuk Kedua Ibu bapa


'Ya allah ampunilah segala dosaku,dan juga dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka memelihara dan menjagaku sewaktu kecil. Amin.


Tuesday 11 November 2014

Jus Delima Gulsan

Hari ini seronok sebab jus delima gulsan yang di pesan sudah sampai. Terima kasih Kak Lijah sudi belikan. Sudah lama mencari kembali jus delima tapi disebabkan kekangan masa baru hari ini tercapai hajat.:).

Kali terakhir minum masa mengandungkan faris. Waktu minum tu memang ada rasa perubahan.Penat pun rasa kurang. Bangun pagi pun rasa mudah. Itu pun sempat habis sebotol sahaja. Jadi, azam kali ini nak amalkan secara konsistant minum jus delima ni. Rasanya ramai yang tahu banyak khasiat jus delima ni. Kebanyakan orang kalau sebut jus delima hanya ingat baik untuk ibu mengandung. Bagi ibu mengandung , jus delima ini baik untuk perkembangan otak bayi semasa mengandung. Malah,memberi tenaga kepada ibu yang mengandung juga. Sebenarnya semua orang boleh minum jus delima termasuk kanak-kanak, remaja, orang dewasa,lelaki,perempuan semua boleh amalkan. 

Bila diingat-ingat semula masa mengandungkan faris dulu,memang ada teringin nak makan buah delima. Puas suami cari dekat kawasan rawang,akhirnya jumpa dekat kedai buah jalan menghala ke pekan rawang.Kebetulan rezeki anak,memang ada sebiji saja dalam peti sejuk kecik kakak kedai tu. Kakak kedai cakap memang dia simpan untuk ibu-ibu mengandung yang datang bertanya saja,baru dia jual. Bertapa susah jugak masa tu nak cari buah delima. 

Rahsia penciptaan buah delima disebut dalam Al-quran sebanyak 3kali. Menunjukkan bukti kebesaran Allah swt yang hendak umatnya berfikir bertapa besarnya kuasa Allah yang mengurniakan rezeki ini kepada semua umat islam.

Jadi,kepada sesiapa yang rasa nak cantik dan sihat jom kita amalkan makanan sunnah ini. 
Pahala pun dapat.Insyaallah.

Nanti kita ceritakan lagi kebaikan dan sejarah buah delima ya..

Tuesday 4 November 2014

Kata-kata Motivasi

Pernah tak ada buku nota kecil untuk tulis atau tampal kata-kata motivasi dekat buku waktu zaman sekolah dulu?Dulu saya suka buat macam begitu..Kadang-kadang baca dekat surat khabar jumpa kata-kata hikmah yang menarik hati terus gunting ambil tampal dalam buku. Walaupun waktu itu  hanya sebagai suka-suka sahaja.

Mari baca sama-sama kata-kata dibawah buat renungan diri saya sendiri dan sesiapa saja yang singgah disini. 



1. Selalulah berfikiran positif..

3. Jangan sesekali pernah berputus asa.!!
4. Hidup ini tidak selalu indah,namun yang indah itu selalu dalam kenangan.:)

5. Hidup ini memerlukan pengorbanan,pengorbanan memerlukan perjuangan,perjuangan memerlukan ketabahan,ketabahan memerlukan keyakinan,keyakinan menetukan kejayaan,dan kejayaan yang menetukan kebahagiaan.





Monday 3 November 2014

Detik Pertemuan


Sambungan cerita aku balik kampung hari sabtu lepas, perjalanan kami lancar sahaja. Lebih kurang dalam pukul 11 dah sampai kampung.  Sampai rumah terus masuk dalam rumah, rupanya faris tengah tidur. Aku duduk di sebelah dia adalah dalam sepuluh minit. Adalah tengok gelagat dia kejap mengiring kanan.kejap kiri.Aku pun usap kepala faris beberapa kali. Tiba-tiba faris buka mata..

Aku tunggu saja tengok reaksi dia.
Tahu tak ape reaksi dia??Jaga-jaga buka mata,dia tengok kearah ibu terus senyum meleret.:)..:)JJJJ:J.

Mula-mula risau jugak kalau dia menangis tak nak dekat ibu .Alhamdulillah, kenal lagi dia dengan ibu ayah dia .Terus dukung dia, cium sayang sikit-sikit.pastu sambung main dengan faris. Tok wan beli mainan baru untuk faris. Tak lepas-lepas mainan tu.

Friday 31 October 2014

Ceritaku..



Salam Jumaat dan selamat pagi. Hari ini sudah pun berada diakhir bulan October 2014. Tak sabarnya nak tunggu esok hari sabtu sebabnya nak balik kampung jumpa buah hati ku Muhammad Faris Irfan. Rindu sangat dengan suara dan telatah Faris.Semoga perjalanan esok lancar dan selamat.

Amin.

Thursday 23 October 2014

Pengenalan


Assalamualaikum...


Alhamdulillah syukur kepad Allah SWT kerana dapat saya memulakan penulisan dalam blog ini. Perkenalkan tuan empunya blog Siti Rahimah Ismail berasal dari Kulim,Kedah. Saya telah mendirikan rumahtangga bersama Muhammad Hafizi Abu Bakar pada Februari 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata. Kini menetap di Bukit Sentosa,Rawang.

Saya memulakan pendidikan formal di sekolah rendah SK Badang, menyambung pelajaran ke SMK Labu Besar sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Kemudian pada tahun 2003,telah melanjutkan pelajaran di Uitm Seri Iskandar dalam Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah. Habis belajar diploma terus menyambung dalam kursus yang sama di Uitm Shah Alam. Alhamdulillah akhirnya tamat pengajian pada tahun 2009. Sepanjang tempoh pengajian banyak pengalaman yang tidak dapat dilupakan,pahit manis sebagai seorang pelajar universiti. Sebuah pengalaman dan memori yang tidak dapat dibeli.

Setelah tamat pengajian,menunggu hari konvokesyen tanpa membuat apa-apa dirumah aku memohon guru ganti buat sementara waktu. SK Sedim telah menjadi tempat pekerjaan pertamaku. Mengajar kanak-kanak pendidikan khas amat menyeronokkan walaupun agak letih melayan kerenah mereka. Hanya 2 bulan berada disana. Kemudian,saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama kakak. Mencari pekerjaan dalam bidang yang sebagai guru sandaran di SMK SAAS,Kajang selama 1 tahun.Selepas tamat kontrak,saya mendapat tawaran bekerja sebagai kerani pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Pada zaman persekolahan saya lebih minat membaca novel-novel remaja dan juga buku-buku motivasi sehingga menjadi koleksi peribadi. Sekarang saya sangat minat membaca buku yang lebih berbentuk ilmiah seperti buku ilmu keibubapaan. Dengan harapan,dengan adanya pengetahuan yang sedkit ini dapat membimbing anak saya sendiri agar menjadi anak yang beriman..Insya Allah.

Sebenarnya minat untuk menulis blog bermula sewaktu saya mula mencari idea-idea untuk majlis perkahwinan saya. Melalui sumber bacaan daripada blog saya dapat idea untuk DIY bagi majlis perkahwinan saya. Walaupun bukan semua benda telah saya DIY,namun tercapai juga hajat untuk DIY pelamin yang ringkas pada hari tersebut. Dari situ,saya cuba membina sebuah blog dengan niat untuk berkongsi pengalaman yang sedikit ini namun terkubur begitu sahaja kerana tiada ilmu yang cukup.

Bercerita pengalaman berniaga memang tiada buat masa sekarang. Namun, hasrat untuk memiliki perniagaan sendiri dan mengurus masa sendiri untuk keluarga memang menjadi impian saya satu hari nanti. Tambahan lagi,melihat anak yang terpaksa ditinggallkan seawal 7 pagi apabila malam baru berjumpa menjadikan perasaan sedih dan bersalah sangat tidak dapat memberi sepenuh tumpuan kepada mereka. Apatah lagi sewaktu anak demam,sakit. Ini lah pengorbanan seorang ibu yang bekerja makan gaji.

Oleh kerana itu, saya telah mendaftar dalam kelas Asas Blog Dari Rumah ini dengan harapan dapat menjadikan saya seorang penulis yang baik dan mempelajari serba sedikit cara memulakan perniagaan online dari rumah. Semoga langkah pertama saya ini menjadi satu titik untuk melakukan perubahan dalam kehidupan saya.

Dengan terhasilnya blog Motivasi Kehidupan ini saya berharap dapat bertukar-tukar pendangan dan berkongsi segala ilmu dan kemahiran di antara kita semua. Malah, menjadi panduan kepada kita semua dalam menjalani kehidupan ini.

Salam perkenalan dari saya..



Baju Didi & Friends

Baju DIDI & FRIENDS AVAILABLE-IN STOCK. ADA YANG BERMINAT BOLEH WHATAPP 011-24019196 SIZE TERHAD..BOLEH PM UNTUK T...