Wednesday 12 November 2014

Keberkatan Doa Ibubapa

Tertariknya ku untuk menulis di sini tatkala membaca status sebuah cerita yang di kongsi pada status mukabuku ku. Terima kasih adikku kerana mengingatkan kakakmu yang jauh dari ayah dan ibu. Sememangnya berjaya menitis air mata ku.

Kisahnya mengenai  seorang ayah yang tidak mahu mengganggu dan membebankan anak-anaknya untuk menghantarnya ke hospital. Walaupun sakit beliau sanggup menyewa teksi untuk berulang alik ke hospital. Dengan alasan jika anak-anak menolak permintaannya atau menolong dalam keadaan yang tidak ikhlas akan mengundang dosa kepada anaknya.  Ya Allah, memang sungguh mulia hati seorang ayah.Tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada anaknya. Hanya berharap anak-anak bahagia dengan kehidupan mereka.

Kisah ini amat menyentuh hati ku yang memang tinggal berjauhan dengan mak ayah. Sudah semestinya bukan semua permintaan mak ayah dapat ku tunaikan. Tambahan lagi, balik kampung hanya beberapa kali dalam setahun. Namun, aku akan cuba sedaya upaya untuk menghubungi mereka setiap minggu bertanya khabar. Walaupun memang ku rasa tidak cukup untuk membalas segala jasa mereka kepada ku. Aku sentiasa berdoa semoga satu hari nanti aku dapat tinggal berdekatan dengan mak ayah agar dapat berbakti dan menjaga mereka.

Aku juga bersyukur mungkin Allah swt telah menetapkan segala yang berlaku. Alhamdulillah, aku mempunyai seorang adik yang tinggal berhampiran mak ayah aku. Dia yang banyak membantu mak ayah untuk berulang alik ke hospital atau ke mana sahaja. Sesungguhnya ada juga rasa cemburu dengan dia:).Dapat berbakti kepada mak ayah. Marilah sama-sama kita muhasabah diri sebagai seorang anak. Sebagai seorang anak cuba tanya dalam diri masing-masing pernahkah kita menolak permintaan mereka?pernahkah kita mengeluh atau mengatakan ‘ahh’ atas permintaan mereka? Pernahkah kita bermasam muka dengan mereka kerana permintaannya?

Sekiranya ada yang menjawab ‘ya’ marilah kita sama-sama memperbaiki diri masing-masing. Mungkin kerana factor-faktor tertentu seperti tinggal berjauhan menjadi alasan tidak dapat memenuhi permintaan mereka. Namun, cuba sebaik mungkin mencari masa menjenguk mereka wakaupun sekejap atau menghubungi mereka sekerap yang mungkin.  Sememangnya naluri mak ayah sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Tidak pernah mengharapkan balasan. Malah tidak pernah merungut atau mengeluh dengan kerenah anak-anak. Jika mereka rindukan kita kadang-kadang pun tidak diluahkan. Namun, jauh disudut hati mereka masih inginkan anak-anak sekadar mengingati mereka, teman untuk bergantung hidup,sebagai peneman ketika mereka tua. 

Sehebat mana pun kita di dunia ini, jika tanpa berkat doa mak ayah,hidup tidak akan bahagia dan dirahmati oleh Allah SWT. Sama-sama kita berdoa selepas solat memohon kepada Allah agar sentiasa memelihara mak ayah kita di dunia dan akhirat. Sesungguhnya apa yang ku tulis untuk peringatan kepada diri ku sendiri dan kepada sesiapa sahaja yang singgah di blog ini.

Ku selitkan doa untuk kita amalkan bersama-sama.

Doa Untuk Kedua Ibu bapa


'Ya allah ampunilah segala dosaku,dan juga dosa kedua ibubapaku dan kasihanilah mereka sepertimana mereka memelihara dan menjagaku sewaktu kecil. Amin.


No comments:

Post a Comment

Baju Didi & Friends

Baju DIDI & FRIENDS AVAILABLE-IN STOCK. ADA YANG BERMINAT BOLEH WHATAPP 011-24019196 SIZE TERHAD..BOLEH PM UNTUK T...